Thursday, March 1, 2012

SBPA RM700-RM2500

PUTRAJAYA: Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan
Awam (Cuepacs) menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga
RM2,500 untuk Gred 1 hingga Gred 54.
Presidennya Datuk Omar Osman berkata kenaikan itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan dibuat menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Beliau berkata tuntutan yang dikemukakan ialah untuk Gred 1 hingga 16
kenaikan sebanyak RM700, Gred 17 hingga Gred 26 (RM1,000), Gred 27 hingga Gred
40 (RM1,500), Gred 41 hingga Gred 48 (RM1,800) dan Gred 52 hingga Gred 54
(RM2,500).
"Misalnya bagi mereka yang berada di Gred 17, gaji semasa dalam SSM ialah
RM820 perlu dinaikkan sebanyak RM1,000 kepada RM1,800," katanya kepada pemberita
selepas membentangkan kertas cadangan Cuepacs pada mesyuarat pasukan petugas semakan semula SBPA di sini hari ini.
Omar turut mencadangkan agar mereka yang berada di tangga gaji tahap
maksimum atau pada tangga gaji mati perlu dibayar tunggakan kenaikan tahunan
selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan selain perlu dinaikkan
gred.
"Misalnya bagi mereka yang sudah terhenti kenaikan gaji sejak lima tahun
lepas, sekiranya kenaikan setahun mereka ialah RM100 jadi perlu dibayar
tunggakan sebanyak RM500," katanya.
Selain itu, Cuepacs turut menuntut mereka yang lulus Penilaian Tahap
Kecekapan pada Aras 4 sebelum Disember 2011 perlu diberi kenaikan gaji.
"Banyak aduan yang diterima apabila SBPA diperkenalkan mereka yang sudah
lulus Aras 4 tidak diberi kenaikan gaji.
"Ini tidak adil kerana bukan mudah untuk mendapat lulus Aras 4, terpaksa
berkorban baca buku siang malam tapi bila dah lulus tidak dinaikkan gaji,
sia-sia sahajalah usaha mereka," katanya.
Omar berkata tuntutan Cuepacs itu dirasakan sesuai memandangkan mereka yang
di kedudukan atas daripada Gred 54 telahpun menikmati kenaikan tinggi dalam
SBPA.
"Kalau betul kerajaan berhasrat untuk merapatkan jurang antara pegawai
rendah dengan atasan maka tuntutan itu adalah dirasakan wajar, apa yang Cuepacs
lakukan ialah untuk menuntut kesaksamaan," katanya.
Beliau berkata terpulang kepada pasukan petugas SBPA untuk menilainya dan
jika merasakan tuntutan itu melibatkan kos yang tinggi, Cuepacs mencadangkan
gaji kumpulan yang menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA dikurangkan dan
disalurkan kepada gred bawahan.
"Jika tidak boleh juga...apa yang terkandung dalam SPBA sekarang perlu
ditukar keseluruhannya dan digantikan dengan terma-terma yang baru," katanya.-- BERNAMA

CUEPACS HARAP PENGUMUMAN PENTING PM 19 MAC

Wartawan Sinar Harian
1 Mac 2012

KANGAR - Perdana Men­teri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan akan hadir ke Perhimpunan Khas Penjawat Awam yang dianjurkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 19 Mac ini.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, Najib dijangka mem­buat pengumuman penting kepada selu­ruh penjawat awam mengenai keputusan tuntutan lima perkara dibawa kongres itu berhubung isu Skim Baru Penjawat Awam (SPBA).

Menurutnya, pihaknya percaya keputusan terbaik sudah difikirkan Kerajaan Pusat dalam memastikan penjawat awam mendapat pembelaan sewajarnya dan tidak perlu menunggu masa lebih lama.

“Sehubungan itu, saya menggesa sekurang-kurangnya 20,000 penjawat awam wajib hadir menyertai perhimpunan khas itu untuk menyuarakan tuntutan kita berhubung isu SBPA.

“Setakat ini, maklum balas yang diberikan amat positif dan saya difahamkan perhimpunan ini bukan sahaja bakal disertai kumpulan penjawat awam Gred Pelaksana 1 dan 2, malah turut melibatkan kumpulan pengurusan Gred 54 dan ke bawah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Bengkel Pengurusan Ahli-ahli Kesatuan Kastam Semenanjung Malaysia di sebuah hotel di sini semalam.

Hadir sama Presiden Kesatuan Kerja Kastam Semenanjung Malaysia, Ibrahim Ahmad.